fb fb fb fb fb

Kembara Merdeka Jalur Gemilang platform semarak semangat patriotisme

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berucap merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Negeri Sembilan di Muzium Rembau/ Foto RTM

REMBAU, 31 Julai - Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dilihat sebagai platform yang bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme malah merapatkan hubungan antara komuniti dan kepimpinan rakyat.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata program itu juga selari dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

"Malaysia MADANI ialah suatu gagasan yang meletakkan keseimbangan antara kemajuan material dan pembangunan rohani mengangkat nilai integriti, perpaduan, keadilan sosial, dan kemakmuran yang inklusif untuk semua rakyat. Manakala Rakyat Disantuni menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan, suara dan keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Maka, program seperti KMJG ini amat bertepatan kerana ia menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin, antara komuniti dan negara,"

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian KMJG 2025 Negeri Sembilan di Muzium Rembau, di sini hari ini.

Pada majlis itu penyerahan Jalur Gemilang telah disempurnakan oleh Exco Sains Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan kepada ketua konvoi yang juga Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Azrul Hasan.

Lebih 50 kenderaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai kembara tersebut yang menjelajah ke beberapa daerah di negeri itu.

"Pada hari ini, kita mula pagi ini di Wisma Persekutuan dan kita akan melalui Rembau dan kita akan berakhir di Kuala Pilah. Dan ini untuk hari yang pertama lah dan untuk hari kedua kita akan bersambung balik dan bersambung hari kedua kita akan mula di Dewan Majlis Bandaraya Seremban. Dan kita akan berakhir di Salak Tinggi..kita akan serahkan kepada negeri Selangor," kata Azrul.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN