Keluasan tanah rizab Melayu di semenanjung meningkat kepada 4.95 juta hektar pada 2024

Foto Hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung menyaksikan peningkatan kepada 4.95 juta hektar pada 2024, berbanding 4.82 juta hektar pada 2020.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan bersih TRM sebanyak 135,063.46 hektar dalam tempoh lima tahun hingga 2024.
  • Kelantan merekodkan keluasan TRM tertinggi iaitu 1.36 juta hektar.
  • TRM tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka kerana tiada Enakmen Rizab Melayu.
  • Perlindungan TRM diatur oleh Perkara 89 Perlembagaan dan undang-undang negeri serta Kanun Tanah Negara 1965.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, peningkatan bersih itu melibatkan 135,063.46 hektar dalam tempoh lima tahun.

“Keluasan keseluruhan TRM di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu (ERM),” menurut NRES dalam jawapan bertulis menerusi laman rasmi Parlimen.

Jawapan itu dikemukakan kepada Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai pecahan keluasan terkini TRM mengikut negeri termasuk perubahan keluasan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, serta langkah kerajaan bagi memastikan pemeliharaan dan perlindungan status TRM secara berterusan.

Berdasarkan data pihak berkuasa negeri, kementerian itu memaklumkan Kelantan merekodkan keluasan TRM paling tinggi sebanyak 1.36 juta hektar, diikuti Perak (953,212.43 hektar), Kedah (809,142.22 hektar), Johor (561,802.60 hektar) dan Pahang (444,074.90 hektar).

Selain itu, Negeri Sembilan (224,483.22 hektar), Selangor (164,743.96 hektar), Perlis (33,554.48 hektar), Kuala Lumpur (1,004.00 hektar), manakala di Terengganu melibatkan seluas 2,378.89 hektar serta tanah pegangan Melayu di negeri itu adalah 401,129 hektar.

Menurut NRES, pengurusan dan perlindungan TRM adalah tertakluk kepada beberapa kerangka undang-undang utama antaranya Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perlindungan khas terhadap TRM serta keperluan penggantian tanah yang setara sekiranya berlaku pembatalan TRM.

Undang-undang turut melibatkan ERM di negeri-negeri yang berkenaan termasuk peruntukan berkaitan pengisytiharan, pembatalan, sekatan pemilikan serta larangan pegangan kepentingan oleh bukan Melayu.

Selain itu, Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828) yang mengawal selia pentadbiran tanah secara am termasuk pendaftaran hak milik dan kepentingan, serta pertimbangan dan kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN), khususnya berkaitan penyelarasan dasar tanah dan pengumpulan data TRM di peringkat Persekutuan.-BERNAMA