
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Kementerian Pengangkutan bercadang meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan mahkamah mengarahkan pampasan terus diberikan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya tanpa perlu memfailkan tindakan sivil berasingan.
- Mahkamah boleh mengarahkan pampasan terus kepada mangsa atau keluarga semasa menjatuhkan hukuman, selain penjara dan denda.
- Cadangan hadir susulan peningkatan kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk dan pemanduan melulu.
- Denda kini disalurkan kepada kerajaan; pindaan membolehkan pampasan dibayar oleh pemandu atau syarikat kepada keluarga mangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata cadangan pindaan itu dijangka dibentangkan di parlimen susulan bilangan kes yang tinggi kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk dan pemanduan melulu.
“Cadangan baharu itu bertujuan memudahkan proses pampasan kepada mangsa.
“Jadi, apabila hakim menjatuhkan hukuman, selain hukuman penjara dan selain hukuman berbentuk denda, hakim juga boleh menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pemandu atau syarikat kepada mangsa,” katanya semasa taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, ketika ini hukuman yang dikenakan kepada pesalah biasanya berbentuk penjara dan denda, namun denda tersebut disalurkan kepada kerajaan dan bukannya kepada keluarga mangsa.
“Pendekatan itu dapat mengurangkan beban keluarga mangsa daripada mendapatkan khidmat guaman dan memulakan proses tindakan sivil secara berasingan.
“Pindaan tersebut bagaimanapun perlu melalui proses kelulusan dasar dan perundangan sebelum dibentangkan,” katanya.