SUNGAI PETANI, 4 Disember- Bunyi letupan dan insiden kebakaran yang membabitkan sebuah kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah malam tadi dipercayai berpunca daripada bateri yang disimpan dalam premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata tinjauan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat banyak kelongsong bateri ditemukan bertaburan di kawasan itu.
"Bateri-bateri ini adalah bateri biasa, ada yang bersaiz A dan 3A. Kita tidak menolak kemungkinan percikan dan letupan yang berlaku disebabkan bateri-bateri ini terbakar. Itu kemungkinan, sebab ada lagi peralatan lain yang mungkin terdapat di dalam kilang, tetapi setakat ini kita tidak boleh nak masuk disebabkan asap tebal. Kita juga perlu utamakan keselamatan anggota kita."
Dalam insiden ini, kita dapati berlaku kebakaran dan juga beberapa siri letupan. Namun, kita telah berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran tersebut daripada merebak ke kilang atau sektor-sektor lain yang berdekatanlah," kata Awang Hidzel kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Bukit Selambau, di sini.
Setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti tahap bahaya asap yang terhasil disebabkan kebakaran itu dan anggota bomba yang terlibat di lokasi kejadian perlu memakai peralatan perlindungan diri sepenuhnya semasa menjalankan tugas.
Dalam pada itu, beliau meminta pemilik premis bangunan atau kilang untuk lebih bertanggungjawab dan memberi kerjasama kepada agensi penyelamat sekiranya berlaku kebakaran membabitkan premis mereka.
Beliau berkata kegagalan pemilik premis memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat tepat berhubung bahan-bahan atau peralatan yang ada di dalam premis mereka akan memberi kesan terhadap operasi penyelamatan dan memadam kebakaran.
Terdahulu, tiga gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di kilang berkenaan musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan bunga api, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.