
KAJANG, 13 April – Cadangan penggunaan senjata api oleh anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini sedang diperhalusi di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).
- Syor penugasan bersenjata diangkat Ketua Pengarah AKPS susulan insiden tembakan Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam.
- KDN mendapati kewajaran mempertimbangkan penggunaan senjata sesuai dengan skop penugasan kerana ancaman terhadap nyawa.
- Cadangan kini dalam penelitian Ketua Setiausaha KDN sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
- Polis menyiasat insiden dan tidak menolak kaitan sindiket jenayah terancang rentas sempadan, beberapa tangkapan telah dibuat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dan diangkat sebagai syor oleh Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain susulan insiden tembakan komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Februari lalu.
Menurut beliau, penugasan anggota AKPS sememangnya berisiko tinggi, khususnya apabila berdepan ancaman terhadap nyawa.
“Namun, apabila melibatkan ancaman terhadap nyawa seperti insiden yang kini masih dalam siasatan polis, maklum balas hasil sesi libat urus saya bersama pihak AKPS mendapati terdapat kewajaran untuk mempertimbangkan penggunaan senjata yang bersesuaian dengan skop penugasan mereka.” kata beliau selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif MBG Veteran ATM 2026 AKPS di Maktab Penjara Malaysia di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Tambahnya, cadangan berkenaan kini berada di peringkat penelitian Ketua Setiausaha KDN sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nassaruddin M. Nasir.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan insiden tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang.
Beliau berkata, skala operasi yang besar memberi petunjuk bahawa ia mungkin melibatkan kumpulan bersindiket termasuk elemen rentas sempadan.
“Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket jenayah terancang kerana skala operasinya besar.
“Siasatan bukan sahaja melibatkan elemen dalam negara, malah turut melibatkan beberapa individu dari negara jiran,” katanya.
Setakat semalam, beberapa tangkapan telah dibuat dan siasatan masih diteruskan oleh pihak polis.