
- Pihak polis menerima laporan daripada Balai Polis Tanjung Dawai pada pukul 2.15 petang.
- Jiran terdengar bunyi letupan diikuti tangisan sebelum keluarga membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jenis mercun masih dalam siasatan.
SUNGAI PETANI, 16 Mac – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun putus beberapa jari serta cedera pada tapak tangan kiri selepas dipercayai bermain mercun dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Tanjung Dawai pada pukul 2.15 petang.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, jiran mangsa terdengar bunyi letupan sebelum disusuli tangisan kanak-kanak berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh ahli keluarganya bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala jenis mercun yang digunakan masih dalam siasatan.