KUALA LUMPUR, 11 Jun- Malaysia perlu beralih kepada penggunaan penghadang jalan dengan rekabentuk yang lebih selamat serta dapat mengurangkan impak kecederaan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd Fa'iz Ahmad menjelaskan penggunaan penghadang jalan besi antara punca atau penyebab kematian apabila berlaku insiden kemalangan.
Beliau merujuk kejadian nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik dua hari lalu, yang mengakibatkan 15 nyawa terkorban.
"Kita perlu lihat juga dari segi reka bentuk penghadang jalan di negara kita. Kalau kita lihat gambar dalam akhbar, bas itu ditusuk penghadang jalan. Penghadang jalan jenis besi dan mungkin itu salah satu punca atau pun sebab kematian kepada penumpang yang berada di sebelah kiri terutamanya. Jadi, kita kena kaji penggantian penghadang jalan kepada jenis yang tidak memberikan risiko sebegitu."
Sebagai contoh, kalau kita tengok di luar negara-seperti China dan United Kingdom, mereka telah ada penghadang jalan yang boleh serap hentakan. Apabila berlaku hentakan, ia tidak lagi membahayakan bahkan boleh mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan," kata Dr. Mohd Fa'iz kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu dalam Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, yang membincangkan tajuk "Solusi Inovatif Elak Kemalangan Bas".
Tambahnya, antara pilihan terbaik adalah penghadang jalan yang direkabentuk menggunakan bahan yang lebih selamat seperti 'polimer'.
"Kita boleh gunakan pendekatan seperti pemasangan penghadang jenis polimer, contohnya yang dilengkapi dengan sistem roller barrel. Jenis penghadang ini mempunyai mekanisme penggelek yang bertindak sebagai pelindung, apabila kenderaan berat seperti bas atau lori terbabas.
Sistem ini dapat membimbing arah kenderaan dan menyerap hentakan secara berkesan. Walaupun kemalangan mungkin masih berlaku, penggunaan sistem ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak pelanggaran dan berpotensi menyelamatkan nyawa mangsa terlibat," tambahnya.
Dr. Mohd Fa'iz turut menekankan kepentingan mewajibkan menggunakan tali pinggang keledar, sistem pengesan GPS dan speed limiter (pemutus kelajuan) terutama bagi kenderaan berat.
"Kita boleh laksanakan penggunaan teknologi yang relevan. Malah, di Malaysia pada masa ini, bas-bas baharu keluaran tahun 2020 ke atas telah diwajibkan untuk dilengkapi tali pinggang keledar.
Selain itu, kita juga telah mewajibkan pemasangan sistem GPS dan pemutus kelajuan. Ini bermakna kenderaan tersebut tidak boleh dipandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Apabila kenderaan mencapai had tersebut, sistem akan menghalang kelajuan daripada meningkat, sama ada dengan mengehadkan kuasa enjin atau memutuskan pecutan," jelasnya.
Selain itu, penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) juga sangat disarankan.
Menurut Dr. Mohd Fa'iz, alat tersebut bukan sahaja dapat merakam semua yang berlaku di dalam kenderaan secara terperinci dan menyeluruh, malah secara automatik boleh mendorong pemandu lebih berhati-hati serta berdisiplin semasa memandu.
"Dari aspek pemantauan keselamatan, penggunaan kamera papan pemuka sangat penting. Sistem ini merangkumi kamera di hadapan dan belakang kenderaan, serta kamera litar tertutup (CCTV) di dalam ruang penumpang dan kawasan pemandu.
CCTV bahagian dalam kereta amat berguna untuk memantau tingkah laku pemandu sama ada mereka menggunakan telefon bimbit atau melakukan sebarang perbuatan yang melanggar peraturan. Kamera papan pemuka di bahagian hadapan dan belakang pula berperanan penting sekiranya berlaku sebarang insiden luar jangka. Ia menjadi bukti visual yang amat bernilai untuk tujuan siasatan dan pengesahan kejadian," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya kerjaya pemandu bas diberi pengiktirafan serta upah yang setimpal dan selayaknya.
Dengan kata lain, bukan diberi upah berdasarkan perjalanan bas (trip), sebaliknya dibayar gaji lebih komprehensif, yang dapat mengubah persepsi masyarakat sekali gus mengangkat martabat kerjaya berkenaan ke satu tahap yang lebih tinggi dan mulia.
"Sebenarnya kita lihat pemandu bas ini, dia punya taraf dalam komuniti kita ini, tidak dipandang tinggi. Mungkin disebabkan oleh upahnya. Saya rasa sudah tiba masa untuk kerajaan dan pihak-pihak berwajib, para pengusaha-pengusaha bas swasta, malah di pihak IPT, kenderaan-kenderaan awam, kerajaan dan sebagainya untuk mengiktiraf dan mengangkat pemandu ini sebagai satu golongan yang profesional.
Mereka diiktiraf serta diberi upah yang setimpal dengan kerjaya serta tanggungan nyawa yang mereka bawa," tegasnya.