fb fb fb fb fb

JTM sasar perluas program TVET, wujud satu kampus Ulul Albab setiap zon

Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha

SELANDAR, 7 Julai- Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyasarkan untuk memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan mewujudkan satu kampus Ulul Albab di setiap zon.

Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha berkata, sebagai permulaan projek rintis dilaksana di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Selandar, Melaka.

Projek seterusnya akan dilaksana di zon Pantai Timur yang dijangka pada tahun ini.

"Kita menjangkakan akan lahir golongan-golongan teknokrat yang ada latar belakang tahfiz. Sekarang ni kita nampak bahawa kadar kebolehpasaran sangat tinggi 95 peratus, maknanya siapa yang masuk ke TVET ini akan dapat pekerjaan 95 peratus itu menarik minat mereka untuk sertai tahfiz TVET.

"Selain daripada itu, berdasarkan pada sejarah yang lepas, 80 peatus pelajar-pelajar kita, graduan kita bekerja dalam bidang yang dia belajar. Itu bukan satu pembaziran, saya rasa satu strategi yang tepat dan kita tidak meninggalkan kumpulan-kumpulan yang terasing ini, maknanya walaupun belajar tahfiz dari awal, tapi mereka ada peluang lagi untuk memahirkan diri dalam bidang teknikal", katanya.

Pelaksanaan itu selaras dengan seruan Kerajaan untuk melahirkan pekerja berkemahiran berpendapatan tinggi iaitu 125,000 huffaz profesional pada 2050.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mahrajan TVET Tahfiz  Dan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Bersama Rakan Strategik Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM) Kampus Selandar di ADTEC JTM Kampus Selandar, Melaka.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan JTM memilih ADTEC JTM Kampus Selandar sebagai institusi pertama yang melaksanakan program TVET Tahfiz dengan pengambilan pelajar bermula pada Julai 2024.

ROSLINA BINTI DIN