fb fb fb fb fb

JPNS sasar kehadiran 1,000 ahli keluarga menjelang Aidilfitri

Pengarahnya JPNS, Penolong Kanan Komisioner Penjara (PKK) Ahmad Mustaqim Che Bisi

SEREMBAN, 2 April- Jabatan Penjara Negeri Sembilan (JPNS) menjangkakan seramai 1,000 orang ahli keluarga penghuni bakal hadir ketika lawatan perjumpaan menjelang Hari Raya Aidilfitri mengikut kapasiti agama yang ada di institusi penjara di negeri itu.

Menurut Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Penjara (PKK) Ahmad Mustaqim Che Bisi, anggaran tersebut merangkumi Penjara Seremban, Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin serta Institusi Pemulihan Dadah Jelebu.

Keluarga para penghuni dibenarkan melawat pada 12 dan 13 April depan sempena perayaan Aidilfitri.

"Kita cuba mengingatkan kepada masyarakat yang hadir untuk datang bertemu, bersua-muka dengan ahli keluarga supaya bersedia termasuk persediaan daripada segi aturan tempoh masa."

"Ia membabitkan pergerakan sebab selalunya pada waktu puncak iaitu tengah hari, jumlahnya adalah tinggi. Jadi, kalau boleh biar ada separuh yang datang pagi ataupun sebelah petang supaya mengelak daripada sesaklah," kata PKK Ahmad Mustaqim kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan 1445H Bersama Kakitangan dan Penghuni Peringkat Penjara Negeri Sembilan di Dewan Wawasan Penjara Seremban, Seremban, pada Isnin.

Tambahnya, seramai 250 anggota dan pegawai bersiap siaga bagi menerima kehadiran pelawat yang ramai di tiga institusi penjara negeri itu menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan kutipan zakat fitrah Penjara Seremban sebanyak RM1,022 kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Jumlah kutipan tersebut diperoleh daripada seramai 146 orang penghuni muslim yang merangkumi pembayaran zakat fitrah buat ahli keluarga mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM