MARANG, 1 Mac- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyasarkan untuk menyelesaikan kesemua 12,101 masalah keciciran dokumentasi membabitkan pelajar sekolah aliran perdana di seluruh negara paling awal pada Jun depan.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias berkata, menerusi inisiatif MEKAR DIDIK, jabatan itu telah menyelesaikan kira-kira 35 peratus masalah sejak dilancarkan pada November 2024.
"Daripada jumlah keseluruhan yang turut babitkan pelajar bukan warganegara itu, Sabah mencatatkan bilangan tertinggi sasaran iaitu 6,997, diikuti Selangor sebanyak 1,833 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 496.
"Setakat ini, setelah beberapa bulan ia bermula … semua negeri telah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Di Sabah, kita telah berjumpa dengan pengarah pendidikan dan insya-Allah akan dapat kelulusan untuk masuk ke semua sekolah dalam masa terdekat.
"Jadi, dengan jumlah di Sabah yang hampir 7,000 itu, kalau boleh masuk, saya ingat sasaran kita akan dapat selesaikan semua masalah keciciran dokumentasi di sekolah aliran perdana hingga Jun atau Disember tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pmberita selepas menyempurnakan projek baik pulih rumah asnaf melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI JPN di Kampung Padang Tanjung di sini.
MEKAR DIDIK merupakan hasil kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan bertujuan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak, namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti Sijil Lahir, Kad Pengenalan (MyKad) dan Sijil Kewarganegaraan.
Dalam pada itu JPN komited menangani isu penggunaan MyKad palsu yang dilakukan secara sindiket sejak 2021, meskipun berdepan kesukaran.
Badrul Hisham berkata, dalam tempoh itu 1,039 tangkapan dilakukan dan 293 kes direkodkan atas kesalahan kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
Sehubungan itu, penggunaan MyKad generasi baharu yang lebih canggih selain mempunyai ciri keselamatan tinggi, sesuai dengan perkembangan teknologi terkini membolehkan masyarakat mengenal pasti keaslian kad pengenalan tersebut.
"Saban hari JPN komited dan serius untuk memastikan dalam memastikan tiada lagi kad pengenalan palsu mahupun menggunakan kad pengenalan orang lain di pasaran.
"Inisiatif kita adalah menyelesaikan masalah itu seperti yang dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam sidang parlimen akhir tahun lepas berkenaan pengenalan kepada kad pengenalan jenis generasi baru," katanya lagi.