
KEPALA BATAS, 16 September – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memantau rapi Indeks Pencemar Udara (IPU) di seluruh negeri dan bersiap sedia memaklumkan penutupan sekolah serta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bacaan mencecah paras 200.
- Pemantauan IPU dijalankan setiap dua jam, tumpuan waktu kemuncak antara pukul 6 petang hingga 8 malam.
- Keempat-empat stesen pemantauan mencatat bacaan melebihi 160, dikategorikan sebagai tidak sihat.
- Keputusan penutupan sekolah dibuat mengikut kawasan atau stesen terjejas dan dimaklumkan segera melalui Pejabat Pendidikan Daerah.
- Bilik gerakan khas (War Room) diwujudkan sejak 13 Ogos untuk memantau jerebu dan memastikan maklumat disalurkan tanpa kelewatan.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pemantauan secara berkala dilakukan setiap dua jam, dengan tumpuan khusus pada waktu kemuncak antara pukul 6 petang hingga 8 malam.
Menurut beliau, setakat ini kesemua empat stesen pemantauan IPU di negeri tersebut mencatatkan bacaan melebihi 160 iaitu berada pada kategori tidak sihat.
“Jika bacaan mencecah 200 seperti panduan yang dikeluarkan, kita akan memaklumkan penutupan sekolah dan pelaksanaan PdPR.
“Keputusan penutupan sekolah juga akan dibuat mengikut kawasan atau stesen yang terjejas dan dimaklumkan segera menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pulau Pinang di Dewan Millenium, di sini hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Mengulas lanjut, Mohamad Dziauddin memberitahu bilik gerakan khas (War Room) telah diwujudkan sejak 13 Ogos lepas bagi memantau perkembangan jerebu dan memastikan maklumat disalurkan kepada pihak sekolah tanpa sebarang kelewatan.