
KUALA LUMPUR 16 September – Hubungan Malaysia dengan Maldives mempunyai kepentingan strategik dalam memastikan laluan maritim utama antara Timur dan Barat kekal selamat dan stabil.
- Malaysia mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bersama Kuala Lumpur-Maldives untuk memperkukuh hubungan dua hala.
- Suruhanjaya itu akan memudahkan pelaburan Malaysia di Maldives serta memajukan kerjasama ekonomi.
- Platform bersama dijangka memperkukuh kerjasama strategik, termasuk keselamatan dan kestabilan maritim.
- Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Suruhanjaya sebelum akhir tahun semasa lawatan rasmi ke Maldives.
Pakar geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, kedudukan Malaysia di Laut China Selatan dan Maldives di Lautan Hindi memerlukan kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran laluan perdagangan dan tenaga antarabangsa.
Laluan berkenaan, katanya turut penting bagi pergerakan minyak dan gas, sekali gus menjadikan kestabilan maritim sebagai kepentingan bersama.
“Maldives memainkan peranan penting dalam memastikan laluan perairan di Lautan Hindi kekal stabil dan selamat, sama seperti Malaysia di rantau ini.
“Sebab itu, Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan Maldives dan mahu mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bersama Kuala Lumpur-Maldives.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja bertujuan mempercepatkan hubungan serta pertumbuhan ekonomi, malah memudahkan pelaburan Malaysia di Maldives, selain memastikan aspek geopolitik dan keselamatan di Lautan Hindi sentiasa terpelihara, ” katanya kepada RTM.
Jelas Profesor Dr. Azmi, penubuhan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives akan dapat mempercepatkan hubungan dua hala, termasuk memudahkan pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, platform itu boleh menjadi ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam isu strategik dan geopolitik, khususnya berkaitan keselamatan serta kestabilan laluan maritim.
Pandangan sama turut dikongsikan penganalisis politik yang juga Pensyarah bagi Fakulti Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian.
Menurutnya, Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives penting sebagai mekanisme tetap bagi menyelaras hubungan dua hala, khususnya dalam menangani isu-isu tertunggak secara lebih tersusun dan berkesan.
“Ia juga mampu menjadi landasan untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelancongan, pendidikan, keselamatan dan maritim.
“Kedudukan Maldives di tengah-tengah Lautan Hindi turut memberikan nilai geopolitik yang strategik, khususnya kerana negara itu berada berhampiran laluan perdagangan serta rangkaian perhubungan maritim utama, ” tambahnya.
Profesor Datuk Dr. Sivamurugan berkata, usaha memperkukuh hubungan itu juga selari dengan hasrat Malaysia dan Maldives dalam memastikan laluan maritim di Laut China Selatan dan Lautan Hindi terus aman, selamat dan stabil.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun.
Cadangan itu disuarakan beliau dalam pertemuan dengan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu bersempena lawatan rasmi dua hari Datuk Seri Anwar ke pulau berkenaan.
Ini merupakan kunjungan sulung beliau ke Maldives sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022, atas undangan Dr Mohamed Muizzu .
Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1968.