KUALA LUMPUR, 23 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi dan menyifatkannya sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
"Bagi pihak JPJ Malaysia, kami menyambut baik semua pengumuman yang telah dibuat Perdana Menteri. Ini merupakan satu hadiah daripada kerajaan kepada rakyat.
"Kami di JPJ akan terus bekerja keras demi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Muhammad Syahmi Abdul Latif, turut meluahkan rasa syukur atas pengumuman tersebut.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman tadi, terutamanya berkaitan insentif kewangan dan cuti khas pada 15 haribulan.
"Ia sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga. Cuti tersebut juga memberi banyak manfaat," katanya.