fb fb fb fb fb

Johor sasar bina 80,000 unit rumah mampu milik menjelang 2029

Majlis Pelancaran J-Home One Stop Centre (OSC) Rumah Mampu Milik Johor di Dewan Muafakat Simpang Renggam, Central Johor Gateway

KLUANG, 13 April- Kerajaan Negeri Johor menyasarkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2029 dalam usaha membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini sebanyak 16,845 unit RMMJ telah berjaya dibina di seluruh negeri. Manakala baki 14,000 unit lagi dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun 2027.

“Tambahan sebanyak 50,000 unit akan dibina sehingga 2029, menjadikan keseluruhan sebanyak 80,000 unit RMMJ akan disediakan untuk rakyat Johor,” katanya.

Menurut beliau, projek fasa baharu ini akan dimulakan di kawasan Kulai dan Simpang Renggam, Kluang sebagai perintis sebelum diperluaskan ke daerah-daerah lain.

“Saya yakin inisiatif ini mampu direalisasikan kerana kerajaan negeri kini bekerjasama rapat dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan pejabat-pejabat tanah. Tanah kerajaan yang tidak digunakan akan dibangunkan sebagai tapak perumahan RMMJ.

“Kita juga akan berkolaborasi dengan pemaju swasta bagi mempercepatkan pelaksanaan agenda penting ini demi kesejahteraan rakyat Johor,” jelasnya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran J-Home One Stop Centre (OSC) Rumah Mampu Milik Johor di Dewan Muafakat Simpang Renggam, Central Johor Gateway.

Sementara itu, rakyat Johor yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji tetap kini turut berpeluang memiliki RMMJ melalui kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, inisiatif ini terbuka kepada golongan bekerja sendiri atau mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, asalkan pendapatan tersebut dimasukkan secara konsisten ke dalam akaun bank.

“Akaun bank itu boleh dijadikan bukti pendapatan melalui penyata transaksi bulanan. Ia akan digunakan sebagai rujukan utama untuk permohonan pinjaman yang dijamin oleh SJKP,” katanya.

Menurut beliau, dana jaminan bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini telah membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan tidak tetap memohon pinjaman perumahan tanpa perlu penjamin atau slip gaji rasmi.

Johor merupakan negeri tertinggi penerima jaminan kredit bank negara dengan jumlah kira-kira RM1 bilion setakat ini.

Tambah beliau lagi, usaha berterusan akan dilakukan untuk memastikan lebih ramai rakyat negeri ini tidak tercicir daripada peluang memiliki rumah, termasuk memperluas akses kepada skim pinjaman alternatif serta memperkasa pembangunan perumahan di kawasan berpotensi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE