JIM perlu perkukuh risikan tangani ancaman sindiket

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan Jabatan Imigresen (JIM) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM bagi Tahun 2025 – Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 19 Mei – Keupayaan perisikan dan perancangan strategik Jabatan Imigresen (JIM) perlu diperkukuh dalam mendepani ancaman sindiket rentas sempadan yang semakin mencabar dan kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket rentas sempadan tersusun: pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen.
  • Sindiket gunakan pasport dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen transit, penyalahgunaan visa dan eksploitasi teknologi.
  • JIM perlu membaca pola migrasi global, fahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan dan unjur risiko.
  • Perlu budaya kerja berjaga, tangkas dan fleksibel, seimbangkan fasilitasi, penguatkuasaan, keterbukaan, keselamatan, kecekapan dan integriti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia kini bukan hanya berdepan dengan kesalahan imigrsen biasa, namun turut berdepan dengan sindiket rentas sempadan yang tersusun.

Beliau berkata, sindiket berkenaan melibatkan pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara.

Beliau menegaskan, JIM perlu mempunyai kemampuan untuk membaca pola migrasi global, memahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan dan membuat unjuran risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

“Sindiket ini tidak lagi beroperasi secara konvensional. Mereka menggunakan pasport yang dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa untuk mengaburi penguatkuasaan imigresen.

“Laluan migrasi tidak teratur hari ini telah berkembang menjadi satu ekosistem operasi yang sentiasa berubah mengikut tekanan penguatkuasaan dan peluang yang tersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM bagi Tahun 2025 di sini hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, JIM perlu berada beberapa langkah di hadapan sesuai dengan ancaman semasa.

“Jabatan ini (JIM) perlu mempunyai budaya kerja yang sentiasa berjaga-jaga terhadap perubahan global, tangkas dalam membuat keputusan dan fleksibel dalam menyesuaikan operasi mengikut realiti.

“Kita tidak boleh lagi bekerja menggunakan pendekatan yang statik sedangkan ancaman hari ini bergerak dengan sangat dinamik.

“Cabaran terbesar imigresen moden hari ini adalah bagaimana untuk mencari keseimbangan antara fasilitasi dan penguatkuasaan, keterbukaan dan keselamatan serta kecekapan dan integriti,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen – Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

Beliau menegaskan, inilah sebabnya kerajaan memberi penekanan besar kepada reformasi dan transformasi sistem imigresen negara.

Datuk Seri Saifuddin Nasution juga melihat masa depan imigresen negara perlu dibina berasaskan prinsip imigresen yang pintar, selamat, dan lancar.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JIM atas pelbagai kejayaan dikecapi pada 2025.

Antara pencapaian JIM adalah peningkatan kedudukan Pasport Malaysia Antarabangsa daripada tangga ke-10 pada 2024 ke tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.