Jerebu: Kebanyakan negeri di Semenanjung, Sarawak terjejas

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kebanyakan negeri di Semenanjung serta beberapa kawasan di bahagian selatan dan barat Sarawak mengalami jerebu susulan peningkatan bilangan titik panas, di samping keadaan cuaca yang panas dan kering.

RINGKASAN BERITA AI
  • Monsun Barat Daya kini mempengaruhi keadaan cuaca negara.
  • Angin baratan lemah menyebabkan cuaca lebih panas, kering dan mengurangkan taburan hujan.
  • Bilangan titik panas meningkat; jerebu dijangka berterusan beberapa hari dan menjejaskan beberapa kawasan.
  • Hujan awal pagi di pantai barat berpotensi mengurangkan jerebu; orang ramai dinasihatkan kurangkan aktiviti luar dan rujuk MetMalaysia.

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ramlan Ab Rahman berkata keadaan itu dipengaruhi oleh fasa Monsun Barat Daya yang melanda negara ketika ini.

Tiupan angin baratan yang lemah menyebabkan keadaan cuaca lebih panas dan kering, selain mengurangkan taburan hujan di beberapa kawasan.

“Bilangan titik panas juga meningkat mengakibatkan beberapa kawasan di selatan dan barat Sarawak mengalami cuaca jerebu. Keadaan ini dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.

“Keadaan jerebu juga dilaporkan berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang,” katanya kepada RTM.

Menurut beliau, hujan masih berpotensi berlaku terutama pada sebelah awal pagi di kawasan pantai barat Semenanjung sepanjang tempoh berkenaan, yang dijangka dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.