RCI TH: Rakyat mahu tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Rakyat mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa seperti yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan penuh syor RCI termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah.
  • Tindakan sewajarnya perlu untuk memelihara hak pendeposit dan mengenakan hukuman setimpal.
  • Siasatan mesti telus tanpa melindungi mana-mana pihak, termasuk mereka yang ada kaitan politik.
  • Isu ini melampaui politik; ia melibatkan amanah wang simpanan umat Islam untuk menunaikan haji.

Tinjauan RTM mendapati orang ramai berharap syor RCI dilaksanakan sepenuhnya, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah.

Seorang pendeposit TH, Norini Md Isa berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan hak pendeposit yang terjejas dapat dipelihara.

“Rakyat mahu tindakan diambil, iaitu hukuman yang setimpal. Jika kita tidak dapat menuntutnya di dunia, di akhirat kelak kita akan tetap menuntutnya,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Mejar (B) Razali Zakaria menyifatkan laporan RCI itu merupakan laporan rasmi perlu dijadikan asas kepada kerajaan untuk mengambil tindakan berdasarkan fakta, ulasan dan syor yang dikemukakan.

“Kalau tiada tindakan, tiada gunanya RCI ini ditubuhkan. RCI ini ditubuhkan atas arahan dan perintah Yang di- Pertuan Agong.

“Jadi, apabila perintah Yang di-Pertuan Agong itu telah dilaksanakan oleh RCI dengan baik, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan, terutama demi kepentingan orang ramai, khususnya para pendeposit TH,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus (Surplus) Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata pendedahan laporan RCI perlu disusuli siasatan yang telus tanpa melindungi mana-mana pihak, termasuk mereka yang mempunyai kaitan politik.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah perlu didakwa dan dibawa ke mahkamah untuk dihadapkan ke muka pengadilan serta dikenakan tindakan sewajarnya.

“Barulah rakyat akan melihat bahawa satu siasatan yang telus telah dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan aktivis Surplus, Jurasmadi Pauzi yang menyifatkan perkara ini perlu merentasi fahaman dan parti politik kerana ia melibatkan kepentingan serta amanah wang simpanan umat Islam.

“Perkara ini sudah melangkaui isu politik kerana ia melibatkan kepentingan para pendeposit yang menyimpan wang untuk tujuan menunaikan ibadah haji dan merentasi fahaman dan parti politik,” katanya.

Terdahulu, pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengikuti persidangan khas berhubung Laporan RCI TH hari ini susulan ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan berkenaan.

Dewan Rakyat bersidang hari ini bagi membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.