
KUALA LUMPUR, 17 November – Sebanyak RM77.8 juta diperuntuk menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkukuh dan memperkemas pengurusan bencana musim Monsun Timur Laut (MTL) termasuk penyediaan bekalan keperluan asas serta fasiliti penyimpanan barangan bantuan.
- Kesiapsiagaan mengaktifkan 8,180 Pusat Pemindahan Sementara mampu menampung sehingga 1.86 juta mangsa.
- JKM melantik 208 pembekal kecil dan 627 pembekal besar bagi memastikan bekalan keperluan disediakan ketika situasi kritikal.
- Penyediaan 824 fasiliti penyimpanan termasuk depoh pusat, stor negeri dan daerah, mini depoh kontena serta pengkalan hadapan.
- Penggerakan lebih 4,800 pegawai JKM, 175 pegawai psikologi, hampir 800 PST dan lebih 2,200 sukarelawan dengan penggiliran petugas berperingkat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata persiapan turut melibatkan kesiapsiagaan mengaktifkan sebanyak 8,180 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.
“PPS merangkumi sekolah, dewan, balai raya dan pusat komuniti yang mampu menampung sehingga 1.86 juta penduduk terjejas.
“JKM turut mengenal pasti dan melantik 208 pembekal berskala kecil serta 627 pembekal berskala besar di seluruh negara bagi memastikan bekalan barangan keperluan kepada mangsa bencana dapat disediakan, khususnya ketika situasi kritikal,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai tahap persiapan kerajaan menghadapi MTL di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy memaklumkan kesiapsiagaan turut merangkumi penyediaan 824 fasiliti penyimpanan barangan di seluruh negara meliputi 8 depoh simpanan keperluan bencana, lapan stor negeri, 144 stor daerah, 114 mini depoh kontena dan 550 pengkalan hadapan.
Selain itu, lebih 4,800 pegawai dan kakitangan JKM turut digerakkan, dibantu 175 pegawai psikologi, hampir 800 anggota Pasukan Sokongan Teknikal (PST) serta lebih 2,200 sukarelawan bencana bagi memastikan kelancaran pengurusan PPS.
JKM turut melaksanakan pendekatan mobilisasi dan penggiliran petugas secara berperingkat bagi memastikan beban tugas dapat diagihkan dengan lebih seimbang.