Abdul Rahman dikenang sebagai pemimpin yang bertimbang rasa, penyayang

Foto RTM

SELANGOR, 11 Ogos – Bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid dikenang sebagai pemimpin yang bertimbang rasa, penyayang serta sentiasa mengambil berat kebajikan warga kerja sepanjang perkhidmatannya dalam bidang penyiaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada warga RTM dan rakan penyiaran.
  • Sentiasa mengambil tindakan segera terhadap kebajikan dan pandangan pekerja, amat dihargai oleh bawahan.
  • Banyak menyumbang kepada pembangunan industri radio dan televisyen Malaysia, disemadikan dengan penghormatan keluarga dan rakan.

Bekas Jurukamera RTM, Nordin Hashim, berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat warga RTM yang mengenali dan pernah berkhidmat bersama beliau.

Menurutnya, Allahyarham sentiasa prihatin terhadap pandangan dan kebajikan warga kerja, selain mengambil tindakan segera terhadap perkara yang disuarakan.

“Allahyarham begitu prihatin dan mengambil tindakan segera apa-apa yang disuarakan, terutama daripada rakan-rakan bawahan dan pekerja RTM pada keseluruhannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Masjid Taman Putra Perdana, hari ini.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Datuk Adilah Shek Omar, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat bertimbang rasa, penyayang dan mudah dibawa berbincang.

Beliau yang pernah bertugas bersama Allahyarham berkata sifat berkenaan menyebabkan Allahyarham disenangi ramai dalam kalangan warga RTM.

“Saya kenal Datuk Rahman sebab saya pernah bertugas bersama Datuk Rahman sebagai timbalan Datuk beberapa tahun. Datuk memang seorang yang sangat bertimbang rasa, sangat penyayang dan sangat senang untuk berbincang,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pegawai Kanan JAKIM, Datuk Haji Ismail Noor menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar, khususnya kepada warga penyiaran.

Menurutnya, Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan industri radio dan televisyen di Malaysia.

“Saya rasa kehilangan beliau amat besar kepada kami, terutama rakan-rakan penyiaran, sama ada di RTM, kerana sumbangan Allahyarham cukup besar dalam membangunkan industri radio dan televisyen di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Putra Perdana, pagi tadi.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Taman Putra Perdana kira-kira pukul 9.00 pagi, sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dan selamat disemadikan kira-kira pukul 9.40 pagi.

Majlis pengebumian dihadiri ahli keluarga, saudara-mara, sahabat serta kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.