PETALING JAYA, 13 November -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh persiapan menghadapi risiko kebakaran kenderaan elektrik (EV) melalui kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Berhad.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, usaha itu selari pelan pembangunan EV negara dan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN), terutama melibatkan keselamatan di kawasan awam dan stesen pengecas.
Jelas beliau, sebanyak 318 unit selimut api (fire blanket) telah diperoleh dan ditempatkan di bandar utama, termasuk 30 unit melalui sumbangan CSR.
"Kebimbangan orang ramai ialah adakah kita boleh padam kebakaran EV, tapi kalau tengok pada teknologi sekarang, apabila unit ini terbakar, dia akan musnah sebab elektronik.
Pemadaman bukan keutamaan, yang penting ialah pemandu kenal tanda awal, berhenti, buka pintu dan evakuasi penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Risiko Prasarana bersama JBPM di Menara Prasarana, hari ini.
JBPM kini memberi tumpuan khusus kepada keselamatan di stesen pengecas arus terus (DC) berkapasiti tinggi kerana risiko kebakaran di lokasi tersebut boleh memberi kesan besar jika tidak dikawal awal.
“Pasukan di seksyen pengecas perlu ada kompetensi menilai sama ada selamat mengambil tindakan awal, termasuk mengeluarkan unit yang belum terbakar,” katanya.
JBPM turut memperkukuh latihan dengan menyediakan kursus khas kepada 970 pegawai, merangkumi pengendalian kebakaran dan kemalangan melibatkan EV.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata 1,045 bas elektrik (EV) dijangka beroperasi bawah Prasarana menjelang 2030.
Ketika ini, 15 unit Bas Rapid Transit (BRT) EV beroperasi di Sunway dan akan diperluas ke jalan awam pada tahun hadapan.
“Semua aspek keselamatan kebakaran untuk bas EV telah diambil kira, termasuk latihan asas kepada pemandu dan kakitangan operasi,” katanya.