LABUAN, 6 Februari- Labuan merekodkan sifar kebakaran pada musim sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tahun lepas.
Pengarah JBPM Labuan, Penguasa Kanan Bomba Abd. Rahman Ali berkata, bagi mengekalkan prestasi itu, rondaan ke beberapa premis di bandar Labuan akan dilaksana.
"Ia bagi memastikan sekiranya berlaku kebakaran pada musim perayaan kita cepat bertindak dan cepat mencegah api daripada lebih besar.
"Premis-premis perniagaan ini, ada sistem-sistem yang tidak berfungsi dengan baik, apabila tidak berfungsi kita akan keluarkan notis dan pemilik premis perlu baiki supaya ia dapat berfungsi dan boleh melindungi premis perniagaan tersebut,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada kempen keselamatan kebakaran dan pelancaran Ops Rondaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina oleh JBPM Labuan yang turut disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (PDRM) Labuan dan agensi lain.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek yang turut mengedar limau mandarin dan risalah keselamatan kepada warga pulau itu.
Tambah Abd. Rahman, sebanyak 137 notis pelupusan bahaya kebakaran dikeluarkan pihaknya sepanjang tahun lepas.
Manakala setakat Januari tahun ini, 53 notis telah dikeluarkan.