fb fb fb fb fb

JAWI rancang perluas penubuhan KAFA di SK

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR, 25 November - Kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merancang memperluas lagi penubuhan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) melalui kerjasama berterusan dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, JAWI kini mengoperasikan 204 institusi pendidikan Islam (IPI) yang merangkumi 6 buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), 71 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 127 KAFA bagi memenuhi keperluan tersebut.

Langkah itu dilaksanakan bagi menangani isu keciciran murid dalam pendidikan asas Al-Quran dan Fardu Ain.

"Sejak tahun 2003 hingga 2025, sebanyak 44 buah KAFA di Sekolah Kebangsaan (SK) telah berjaya ditubuhkan, merangkumi 16 buah di Putrajaya dan 28 buah di Kuala Lumpur.

"Selain itu, JAWI Cawangan Labuan turut melaksanakan kajian keperluan penubuhan KAFA di SK di seluruh Wilayah Persekutuan bagi memastikan penawaran yang dibuat benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat. Penambahan bilangan KAFA di SK diyakini dapat mengurangkan isu keciciran, kerana murid dapat mengikuti kelas KAFA di sekolah yang sama tanpa perlu berpindah ke lokasi lain," kata beliau ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya lagi, 83 KAFA di SK turut beroperasi di premis komuniti seperti masjid, surau, balai raya dan lokasi lain di seluruh Wilayah Persekutuan.

Menurut JAWI, penubuhan KAFA di sekolah kebangsaan sebelum ini bergantung kepada kesediaan pihak sekolah, termasuk persetujuan Guru Besar dan ketersediaan bangunan.

Kerajaan turut menekankan bahawa keperluan pendidikan Al-Quran dan Fardu Ain di kawasan berpenduduk padat akan terus diberi perhatian, termasuk melalui penambahan KAFA secara berfasa serta pelaksanaan pemantauan kualiti pengajaran secara berterusan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN