
KOTA BHARU, 22 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) mengenal pasti beberapa kementerian berada dalam radar pemantauan berhubung isu perolehan, termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF).
- SPRM memantau beberapa kementerian termasuk MINDEF berkaitan ketirisan perolehan melalui eksesais dan audit bersama.
- Dua pegawai kanan ATM dijangka didakwa minggu depan, tertakluk kepada persetujuan Peguam Negara.
- Siasatan nilai RM2.5 bilion melibatkan IJM termasuk kerjasama dan siasatan di luar negara seperti United Kingdom.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemantauan itu dimulakan di MINDEF susulan keterbukaan dan sokongan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, SPRM turut menambah empat lagi pegawai integriti bagi melaksanakan eksesais bersama MINDEF untuk meneliti isu ketirisan perolehan yang melibatkan kaedah tender dan sebut harga.
“Eksesais ini bukan sahaja melibatkan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, malah perlu dilaksanakan kajian semakan seperti proses pengauditan oleh SPRM bersama kementerian. Di sinilah kita mahu melihat bagaimana ketirisan boleh berlaku dan memastikan kawal selia supaya setiap pembelian dibuat secara telus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini.
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata dua lagi pegawai kanan tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk dijangka dituduh minggu depan, tertakluk kepada persetujuan Peguam Negara.
Keputusan daripada Peguam Negara dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi.
“Saya sedang menunggu keputusan dan telah mencadangkan dua pegawai kanan ini, manakala yang lain akan menyusul kemudian dengan keutamaan diberikan kepada pegawai berpangkat tertinggi terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta, namun mengaku tidak bersalah.
Mengenai siasatan melibatkan IJM Corporation Berhad, Tan Sri Azam berkata dua pengurusan tertinggi syarikat berkenaan telah dipanggil ke pejabat SPRM bagi melengkapkan siasatan.
Menurut beliau, siasatan membabitkan nilai RM2.5 bilion itu turut dijalankan di luar negara termasuk United Kingdom.
“Permintaan telah dihantar kepada kami dan SPRM sebagai agensi dalam negara bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan susulan kerana apabila siasatan dijalankan oleh negara luar, kita juga perlu memberi kerjasama,” katanya.