Raja Perlis berkenan dua entiti USM dinamakan semula

Foto BERNAMA

ARAU, 22 Januari – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan memasyhurkan penamaan semula dua entiti baharu Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kampus Kejuruteraan USM dinamakan semula sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
  • Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM kini dikenali sebagai Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi.
  • Penamaan semula menghargai jasa Tuanku Syed Sirajuddin dan mengiktiraf legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.
  • Harapan agar entiti baharu memperkukuh peranan USM dalam ilmu, penyelidikan dan manfaat kepada masyarakat.

Dua entiti berkenaan ialah Kampus Kejuruteraan USM yang dinamakan semula sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, penamaan semula kampus kejuruteraan itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan khidmat bakti baginda kepada USM, selain bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis.

“Penamaan semula Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM, yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa serta legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” titah baginda pada majlis itu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah Allahyarham Tun Abdullah memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda kanser, kesihatan awam dan penyelidikan perubatan bertaraf tinggi, selain memberi sumbangan besar kepada pembangunan institusi itu.

“Allahyarham Tun juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal dan telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan kawasan tersebut serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan dan perkembangan institusi ini sebagai pusat perubatan dan pergigian termaju di utara Semenanjung Malaysia,” titah baginda.

Baginda turut berharap, agar kedua-dua entiti yang dimasyhurkan itu akan terus memperkukuhkan peranan USM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Dalam titah baginda lagi, Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan bahawa penamaan semula sesebuah entiti pendidikan tinggi bukan sekadar bersifat simbolik, malah mencerminkan amanah, penghargaan dan legasi yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.

“Dalam hal ini, saya berharap agar universiti ini kekal berperanan sebagai institusi kemasyarakatan yang seimbang, yang menggabungkan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, ihsan dan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis pemasyhuran tersebut, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, isteri kepada Allahyarham Tun Abdullah, Tun Jeanne Abdullah dan Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.