
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Seiring komitmen mempertingkat tadbir urus fiskal negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah merangka pelbagai langkah strategik bagi memastikan proses pengagihan bayaran balik cukai dilaksanakan secara lebih adil dan seimbang.
- Pelaksanaan konsep FIFO memberi keutamaan kepada tunggakan bayaran balik yang lebih lama.
- Pengagihan bayaran balik lebihan cukai dibuat secara seimbang berdasarkan usia tunggakan.
- Pindaan membenarkan semakan pada bulan ke-11 untuk kurangkan lebihan pembayaran cukai.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, komitmen strategik itu bertujuan memastikan peruntukan bayaran balik yang disediakan dapat diagihkan secara lebih sistematik kepada pembayar cukai yang layak.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau a/l Veraman, pada sesi Kamar Khas Parlimen di sini, hari ini.
“Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah penggunaan konsep first in, first out (FIFO), iaitu tunggakan bayaran balik yang lebih lama akan diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, selain FIFO, bayaran balik lebihan cukai turut diagihkan secara seimbang berdasarkan usia tunggakan.
“Strategik ketiga ialah membuat bayaran penuh bagi tunggakan bayaran balik lebihan cukai untuk kategori pembayar cukai individu. Keempat, keutamaan turut dipertimbangkan kepada syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai,” katanya.
Beliau berkata, pindaan perundangan turut dibuat bagi membolehkan pembayar cukai membuat semakan pada bulan ke-11 berbanding semakan sebelum ini yang hanya dibenarkan pada bulan ke-2, ke-6 atau ke-9.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan lebihan bayaran cukai kepada LHDN dengan membolehkan pembayar cukai melaraskan bayaran anggaran supaya lebih hampir kepada jumlah cukai sebenar, sekali gus mengurangkan keperluan bayaran balik,” katanya.