fb fb fb fb fb

Isu kadar upah p-hailing, kerajaan digesa campur tangan

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Persatuan Penghantar P-Hailing menggesa kerajaan untuk bertindak tegas membabitkan isu sebuah syarikat penyedia perkhidmatan yang menurunkan kadar caj upah penghantar.

Pengumuman kadar baharu RM1.00 yang dilaksana baru-baru ini, disifatkan keterlaluan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani, penurunan kadar upah itu menjejaskan pendapatan harian penghantar.

Sebelum ini, penghantar berjaya meraih pendapatan sehingga RM170 sehari tetapi kini hanya mampu memperoleh RM70 sahaja sehari.

"Realiti yang berlaku dalam industri p-hailing ini, rakan-rakan penghantar di luar sebenarnya tidak percaya pada bonus dan insentif. Dua perkara ini hanyalah 'gula-gula' syarikat apabila mereka turunkan kadar upah."

"Kita berharap ada campur tangan daripada pihak kerajaan dalam perkara ini bagi menyelesaikan isu ini. Ia penting sebab melibatkan pendapatan dan kelangsungan hidup penghantar dan keluarga," kata Abdul Hakim kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia, hari ini di Angkasapuri Kota Media.

Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan diberi keadilan buat semua pihak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM