
PUTRAJAYA, 30 Januari – Jemaah Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh aspek integriti dan penguatkuasaan.
- Kerajaan kukuhkan integriti dan penguatkuasaan tanpa campur tangan eksekutif terhadap agensi penguatkuasaan.
- Semua siasatan diserahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan seperti SPRM.
- Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri tekankan tindakan tegas dan integriti bagi memulihkan keyakinan rakyat.
Penegasan itu susulan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua anggota kabinet memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan undang-undang yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan mencampuri sebarang tindakan badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebaliknya, semua siasatan diserahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan.
“Perdana Menteri telah menegaskan agar aspek penguatkuasaan diberi perhatian serius oleh anggota Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa tindakan penguatkuasaan sebelum ini berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi.
“Oleh itu, Jemaah Menteri tidak akan campur tangan kerana tindakan tersebut adalah tanggungjawab badan penguatkuasaan seperti SPRM,” katanya.
Tambahnya, Ketua Setiausaha Negara turut mengeluarkan peringatan kepada semua ketua setiausaha kementerian supaya memperkukuh aspek integriti.
Langkah itu bertujuan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan integriti sebagai tunjang utama dalam memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur, serta menekankan tindakan tegas tanpa mengira pangkat bagi memastikan tadbir urus kerajaan bebas daripada rasuah dan ketirisan.