JOHANNESBURG, 4 Januari- Kes genosid di Gaza yang didakwa dilakukan oleh Israel akan dibentangkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), di The Hague minggu depan.
Kes itu dijadual akan didengar pada 11 dan 12 Januari.
Jelas ketua pengarah kementerian luar, pihak pendakwa akan berada di Mahkamah ICJ pada 11 Januari.
Pihak pendakwaan juga akan membentangkan kes berasaskan bukti termasuk niat khusus jenayah genosid dan berdasarkan kenyataan-kenyataan para pemimpin.
Afrika Selatan yang menyokong perjuangan Palestin sejak beberapa dekad lalu, memulakan prosiding di ICJ bulan lalu memohon mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah genosid yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza dan memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.- REUTERS