fb fb fb fb fb

IPR diperluas, 2,536 peserta golongan sasar diluluskan

Kementerian Ekonomi mempergiatkan usaha memperluaskan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi meningkatkan penyertaan golongan sasar / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 4 November – Kementerian Ekonomi mempergiatkan usaha memperluaskan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi meningkatkan penyertaan golongan sasar.

Usaha itu termasuk pelancaran portal dan pembukaan kaunter pendaftaran IPR di ibu pejabat Kementerian Ekonomi.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata sehingga kini, sebanyak 2,536 individu daripada golongan sasar telah diluluskan untuk menyertai tiga inisiatif di bawah IPR, iaitu IPR INTAN, IPR INSAN, dan IPR IHSAN.

"Kementerian Ekonomi turut serta dalam siri Jelajah MADANI bagi memudahkan proses pendaftaran IPR dan memberikan penerangan lanjut.

"Selain itu, pegawai lapangan di peringkat negeri dan daerah sentiasa mengadakan sesi libat urus untuk menyampaikan maklumat terkini berhubung pelaksanaan IPR. Ini bagi menarik lebih ramai golongan sasar untuk menyertai inisiatif ini merentasi lokaliti masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam, di Dewan Rakyat, di sini.

Setakat ini, IPR INTAN telah meluluskan 1,485 peserta di 16 lokasi, manakala 161 peserta telah mendapat manfaat daripada IPR INSAN sehingga 15 Oktober lalu. Untuk IPR IHSAN pula, pelaksanaan telah diluluskan bagi 890 peserta di seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN