KUALA LUMPUR, 7 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki berusia 47 tahun maut manakala seorang lagi lelaki berusia 26 tahun cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintenden Naazron Abdul Yusof berkata, dua mangsa tersebut tersepit dalam kenderaan masing-masing dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.
"Daripada maklumat yang kami terima, ada dua mangsa lagi yang telah pun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang melibatka seorang lelaki Melayu dan juga seorang perempuan berbangsa Sweden.
"Kami percaya ini berkemungkinan besar adalah pemandu dan penumpang e-hailing. Inisiden ini berlaku ketika hujan lebat," kata Naazron Abdul Yusof.
Sementara itu mayat dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Insiden itu menyebabkan 17 buah kenderaan rosak dan landasan monorel berhampiran turut terhalang oleh dahan daripada pokok tumbang tersebut.
Pihaknya turut menasihatka mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dijalankan.