PUTRAJAYA, 14 Disember - Inisiatif pelaksanaan program Payung Rahmah akan diteruskan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diteruskan sebagai agenda nasional negara.
Beliau berkata inisiatif itu akan diperkasa bukan hanya melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malah merangkumi beberapa kementerian lain.
"Sebagaimana kita tahu bahawa usaha yang telah dimulakan sebelum ini untuk kita memberikan kad diskaun kepada pengusaha-pengusaha restoran yang menyediakan Menu Rahmah itu bermula hari ini dan kira-kira sebulan yang lepas kita buka permohonan secara dalam talian.
"Hari ini beberapa restoran telah menerima dan pastinya peruntukan tahun 2024 memang ada peruntukan sebanyak RM200 juta untuk kita meneruskan inisiatif Payung Rahmah," katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Barangan Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini.
Tambah Armizan, pelbagai inisiatif dia bawah Payung Rahmah juga turut akan diteruskan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.