Ibu bapa disaran laksana saringan awal masalah pembelajaran anak-anak

Program saringan dilaksana bersama pakar-pakar bagi menilai perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh

GUA MUSANG, 15 September – Kementerian Pendidikan (KPM) mengalakkan ibu bapa membawa anak yang menunjukkan kelewatan perkembangan atau berdepan masalah pembelajaran untuk menjalani saringan awal bagi memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saringan awal penting untuk mengesan autisme, gangguan spektrum autisme dan ADHD.
  • Program saringan dilaksanakan bersama pakar untuk menilai perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
  • Dua sekolah Orang Asli dinaik taraf ke K11, membolehkan murid belajar hingga tingkatan lima tanpa keluar penempatan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, saringan awal penting bertujuan mengesan masalah seperti autisme, gangguan spektrum autisme serta gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD).

“Program saringan dilaksanakan bersama pakar-pakar bagi menilai perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

“KPM sangat menggalakkan penglibatan ibu bapa memandangkan perkhidmatan saringan disediakan secara percuma oleh kerajaan yang boleh memberi saranan kepada ibu bapa untuk melaksanakan proses selanjutnya,”katanya selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang.

Beliau dalam perkembangan lain turut memaklumkan dua sekolah Orang Asli di Kelantan kini, dinaik taraf daripada Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) ke K11 bagi membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga tingkatan lima tanpa perlu keluar dari kawasan penempatan mereka.

“Dua sekolah berkenaan, masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di Pos Bihai dan SK Sri Permai di Pos Pasik.

“Peningkatan status sekolah berkenaan merupakan antara usaha KPM memperkukuh akses pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli selain, membantu mengurangkan risiko keciciran,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.