Hubungan Malaysia-China melangkaui diplomatik biasa, dibina atas kepercayaan dan keyakinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan tiga hari ke China / Foto Afiq Hambali, Pejabat Perdana Menteri Malaysia

HANGZHOU, 24 September – Hubungan Malaysia-China bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya dibina atas kepercayaan dan keyakinan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persamaan pandangan tentang tadbir urus dan penekanan dimensi etika dalam kepimpinan memperkukuh kerangka kerjasama.
  • Kerjasama memfokuskan merapatkan jurang digital dan memastikan manfaat teknologi serta AI dinikmati negara-negara Selatan Global.
  • China sedia berganding bahu mengukuhkan kepercayaan politik serta memperdalam kerjasama sains, perdagangan digital dan kemahiran vokasional.

Beliau berkata, hubungan erat itu turut mencerminkan persamaan pandangan dalam beberapa isu, termasuk tadbir urus, kemakmuran bersama dan usaha merapatkan jurang digital.

Menurutnya, Malaysia turut melihat kepimpinan Presiden China, Xi Jinping, termasuk penekanannya terhadap dimensi etika dalam tadbir urus, sebagai antara perkara yang mempunyai persamaan dengan pendekatan Malaysia.

“Hubungan ini melangkaui hubungan diplomatik biasa. Ia dibina atas kepercayaan dan keyakinan, termasuk dalam soal kemakmuran bersama, merapatkan jurang digital serta membantu negara negara di Selatan Global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan balas terhadap ucapan alu-aluan Perdana Menteri China, Li Qiang, sebelum memulakan mesyuarat dua hala di West Lake State Guest House, di sini.

Datuk Seri Anwar berkata, hubungan erat Malaysia-China juga penting ketika dunia berdepan cabaran memastikan manfaat pembangunan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) tidak hanya dinikmati negara maju.

Katanya, pendekatan China dalam menggalakkan kemakmuran bersama dan membantu negara-negara Selatan Global, termasuk menangani jurang digital, merupakan antara aspek yang diberi perhatian Malaysia.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia menghargai komitmen China terhadap hubungan dua hala yang diasaskan atas kepercayaan.

Sementara itu, Li Qiang menyifatkan hubungan Malaysia-China sebagai antara keutamaan dalam diplomasi kejiranan Beijing.

Beliau berkata dalam suasana konflik, pergolakan dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing, komunikasi serta penyelarasan rapat antara kedua-dua negara mampu menambah kepastian kepada pembangunan bersama.

Li Qiang turut menyifatkan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu sebagai pembuka tirai “50 Tahun Keemasan” baharu hubungan Malaysia-China.

Menurutnya, China bersedia berganding bahu dengan Malaysia untuk mengukuhkan kepercayaan politik dan memperdalam pembinaan Komuniti China-Malaysia, termasuk menerusi kerjasama sains dan teknologi, perdagangan digital serta kemahiran vokasional.

Mesyuarat dua hala yang berlangsung kira-kira 50 minit tengah hari tadi, turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Johari Abdul Ghani; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.