fb fb fb fb fb

HKHM 2024: Kementerian Komunikasi terima sumbangan tajaan bernilai RM4.09 juta

Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Ogos- Kementerian Komunikasi menerima sumbangan penajaan keseluruhan berjumlah RM4.09 juta sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sumbangan yang diterima menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi berjumlah RM2.03 juta manakala tajaan berbentuk 'mobile float' untuk perarakan HKHM 2024 sebanyak RM2.06 juta.

"Alhamdulillah, peningkatan yang melebihi jangkaan yang diharapkan berbanding tahun lepas. Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik Kementerian Komunikasi yang telah memberikan sumbangan penajaan."

"Tidak kira berapa pun nilainya, kecil atau besar, sedikit atau banyak, pihak kementerian terima dengan amat besar hati. Sesungguhnya, sumbangan anda amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia dalam menyambut HKHM 2024," kata Fahmi dalam ucapannya, hari ini.

Fahmi ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia HKHM 2024, di sini hari ini.

Katanya, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

Sementara itu, sumbangan penajaan bagi barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya nanti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM