KUALA LUMPUR, 23 April- Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 di Pangkalan TLDM Lumut pada Ahad akan diadakan secara sederhana.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain berkata perkara itu untuk menghormati tragedi tahun lalu -- dua helikopter ketenteraan milik TLDM bertembung ketika raptai persembahan.
"Acara utama ialah pada Ahad di Pangkalan TLDM Lumut dengan majlis perbarisan. Tetapi sebelum itu, malam Khamis akan diadakan forum perdana, diikuti khutbah khas pada Jumaat dan sesi pertemuan bersama anggota-anggota pada petangnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Sementara itu pangkalan TLDM lain akan meneruskan program Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
"Untuk acara ini, orang awam dijemput hadir dan diberi peluang melawat kapal-kapal TLDM yang akan dibuka kepada umum. Jadi kami mengalu-alukan kehadiran masyarakat untuk sama-sama meraikan sambutan ini," katanya.
TLDM turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Pertahanan dan seluruh rakyat Malaysia atas sokongan berterusan dalam usaha mempertahankan kedaulatan perairan negara.
"Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan yang telah diberikan. Amanah ini sangat besar, sangat berat untuk dipikul. Sebagai negara maritim, sokongan kerajaan amat kami hargai untuk memastikan TLDM terus menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan," katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen TLDM adalah untuk terus memperkasakan armada negara demi keselamatan dan kedaulatan maritim negara.
Sementara itu tema sambutan Hari TLDM ke-91 dikekalkan iaitu "TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara".