Hak pihak ketiga, AI antara cadangan utama reformasi Akta Kontrak 1950

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Kontrak 1950 (Akta 136) bagi menyediakan Rang Undang-Undang (RUU) Kontrak baharu yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan mengiktiraf hak pihak ketiga bagi menguatkuasakan terma kontrak yang dibuat untuk manfaat mereka.
  • Memperkenalkan peraturan baru mengenai penggunaan AI dalam urusan komersial melalui RUU Agensi.
  • Reformasi bertujuan memperkukuh undang-undang komersial, tingkatkan kepastian, kurangkan pertikaian dan kos, serta tarik pelabur.
  • Jawatankuasa 20 pakar meneliti semua 191 peruntukan; laporan melebihi 500 muka surat diserahkan untuk semakan Ahli Parlimen.

Antara cadangan utama dalam kajian itu ialah memberi hak kepada pihak ketiga dalam kontrak serta memperkenalkan peraturan baharu berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urus niaga komersial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu penting kerana Akta Kontrak 1950 tidak pernah melalui semakan menyeluruh dan tidak dipinda sejak hampir lima dekad lalu.

Beliau berkata, reformasi itu bertujuan memperkukuh undang-undang komersial negara, meningkatkan kepastian undang-undang, mengurangkan pertikaian serta kos urus niaga, selain meningkatkan keyakinan pelabur.

“Cadangan RUU Kontrak (Hak Pihak Ketiga) adalah untuk mengiktiraf hak pihak ketiga menguatkuasakan terma kontrak yang dibuat untuk manfaat mereka.

“Cadangan RUU Agensi pula akan menggantikan peruntukan sedia ada dengan kerangka yang lebih moden, termasuk mengambil kira penggunaan AI dalam urusan komersial,” katanya.

Selain itu, kajian berkenaan turut mencadangkan penambahbaikan dari segi bahasa, struktur dan prinsip undang-undang dalam Akta 136 supaya lebih selari dengan perkembangan ekonomi digital.

Bagi memastikan kajian dibuat secara menyeluruh, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Semakan Reformasi Undang-Undang Kontrak pada 14 Januari 2025 yang dianggotai 20 pakar daripada pelbagai bidang.

Jawatankuasa itu meneliti kesemua 191 peruntukan di bawah Akta 136 sebelum menyediakan laporan akhir kajian yang mengandungi cadangan dasar, analisis perbandingan dan draf perundangan.

Laporan berkenaan yang melebihi 500 muka surat telah dibentangkan kepada Ahli Parlimen untuk semakan.

Azalina berkata, tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri, RUU Kontrak baharu itu disasarkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.

Akta Kontrak 1950 merupakan undang-undang utama yang mengawal pembentukan dan pelaksanaan kontrak di Malaysia. Semakan terhadap akta itu dibuat bagi memastikan undang-undang negara kekal relevan dengan perubahan ekonomi, teknologi dan amalan perniagaan semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.