
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca insiden senjata api meletup sehingga mengakibatkan dua anggotanya cedera, semasa menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pada Isnin.
- Lapang sasar ditutup sementara dan siasatan dijalankan secara terperinci bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.
- Letupan berlaku secara tiba tiba selepas senjata tersangkut; kedua anggota cedera di kaki akibat serpihan.
- Anggota diberi rawatan kecemasan, seorang pulang sebagai pesakit luar, seorang lagi dirawat dan dipantau; TDM tekankan pematuhan SOP keselamatan.
TDM menerusi kenyataan memaklumkan, siasatan akan dilaksanakan secara terperinci dan menyeluruh, selain lapang sasar tersebut turut ditutup buat sementara waktu demi kelancaran proses siasatan.
“Mohon kerjasama semua pihak khususnya orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang, senjata yang dikendalikan oleh Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin, dan Koperal Felix Franchis dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, mengalami masalah tersangkut (stoppage) dan tidak meletup.
Kedua-dua anggota itu kemudian melakukan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.
“Bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan.
“Kedua-dua anggota telah diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan sama.
TDM turut memaklumkan, keadaan kedua-dua anggota kini stabil dengan Sarjan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
TDM menegaskan, pihaknya memandang serius insiden senjata api meletup terbabit, selain komited memastikan aspek keselamatan serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan.