RUU Jenayah Siber 2026 bukan sekadar pematuhan konvensyen antarabangsa – MKN

MKN

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 bukan sekadar bagi mematuhi Konvensyen Majlis Eropah Mengenai Jenayah Siber serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Jenayah Siber, sebaliknya turut bertujuan memperuntukkan kesalahan jenayah di bawah Bahagian III hingga VI RUU berkenaan serta kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menggunakan sistem komputer.

RINGKASAN BERITA AI
  • MKN menjelaskan RUU digubal berdasarkan kesesuaian perundangan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada di Malaysia.
  • Lebih 40 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti PDRM, Jabatan Peguam Negara dan MCMC telah diambil kira.
  • RUU dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Jun, bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997; bacaan kedua dan ketiga dijadualkan 1 Julai.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggubalan RUU itu dibuat berdasarkan kesesuaian perundangan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada di Malaysia.

“Penggubalan RUU ini dibuat dengan mengambil kira maklum balas lebih daripada 40 sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat bersama dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Konvensyen Majlis Eropah Mengenai Jenayah Siber sejak September 2023,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MKN melalui Agensi Keselamatan Siber Negara turut mengadakan sesi taklimat RUU Jenayah Siber 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Keselamatan serta Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen ke-15 pada 25 Feb 2026, serta kepada Ahli-Ahli Kelab Penyokong Kerajaan MADANI di Parlimen pada 25 Jun lalu.

“Maklum balas dan cadangan yang diterima telah dinilai dengan teliti dari sudut perundangan, dasar dan pelaksanaan sebelum RUU Jenayah Siber 2026 dibentangkan di Parlimen,” menurut kenyataan itu.

Pada 22 Jun lalu, RUU Jenayah Siber 2026 yang bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijadualkan pada 1 Julai ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.