Majlis Pendidikan Negara pacu pembaharuan sistem pendidikan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Majlis Pendidikan Negara diwujudkan bagi memacu pembaharuan menyeluruh sistem pendidikan negara agar kekal relevan dengan tuntutan semasa, termasuk menerusi penambahbaikan kandungan dan kurikulum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sambil memelihara nilai, budaya, bahasa kebangsaan dan akhlak Malaysia MADANI.
  • Meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera dan merangka hala tuju bakat STEM bagi masa depan negara.
  • Menilai sistem pendidikan secara objektif, menerapkan pandangan pakar dan berani melaksanakan pembaharuan bagi mempertingkatkan mutu ke tahap lebih tinggi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata majlis itu turut berperanan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tanpa mengabaikan nilai, budaya, bahasa kebangsaan dan akhlak yang menjadi teras Malaysia MADANI.

Datuk Seri Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang meneliti hala tuju pendidikan negara, meliputi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi.

Beliau berkata perbincangan mesyuarat tertumpu kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah, memperkasa agenda pendidikan Bumiputera serta membina hala tuju bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi memenuhi keperluan masa depan negara.

“Pendidikan negara perlu dinilai secara objektif, berpandukan pandangan serta kepakaran pelbagai pihak, supaya setiap langkah yang diambil benar-benar dapat mempersiapkan generasi masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan budaya berpuas hati dengan sistem sedia ada tidak boleh menjadi penghalang kepada kemajuan.

Sebaliknya, katanya negara perlu berani melaksanakan pembaharuan dan terus mempertingkat mutu pendidikan ke tahap lebih tinggi. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.