Dewan Rakyat lulus RUU SIP (Pindaan) 2025

Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang antara lain menyemak semula kadar denda terhadap majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar denda maksimum dikurangkan kepada RM5,000 daripada RM10,000.
  • Penguatkuasaan diperkenalkan secara berperingkat mengikut kekerapan kesalahan majikan.
  • Kerajaan menekankan pematuhan bukan hukuman, memberi peluang pembetulan kepada majikan.
  • Kementerian utamakan advokasi, bimbingan dan libat urus kepada majikan sebelum penguatkuasaan untuk wujudkan pasaran buruh lebih tersusun.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 15 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, ketika menggulung perbahasan berkata pindaan tersebut melibatkan Fasal 11 Subseksyen 45R(4) dengan penurunan kadar denda maksimum kepada RM5,000 berbanding RM10,000 sebelum ini.

Beliau berkata pindaan itu turut memperkenalkan penguatkuasaan secara berperingkat mengikut kekerapan kesalahan yang dilakukan majikan.

Menurutnya, semakan semula kadar penalti dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklum balas majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpandangan kadar tersebut agak tinggi bagi kesalahan bersifat pentadbiran serta kesalahan kali pertama.

“Fokus utama kerajaan adalah memastikan pematuhan (compliance), bukan menghukum majikan. Majikan juga akan diberikan peluang untuk melakukan pembetulan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia akan mengutamakan sesi advokasi dan bimbingan kepada majikan melalui pelbagai siri libat urus serta hebahan sebelum penguatkuasaan kewajipan pelaporan kekosongan jawatan dilaksanakan.

Menurutnya, RUU itu digubal bagi mewujudkan ekosistem pasaran buruh yang lebih tersusun, sekali gus memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diakses oleh pencari kerja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.