
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Ismail Sulaiman, secara rasmi menamatkan perkhidmatannya di Jabatan Penyiaran Malaysia hari ini selepas lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang penyiaran.
- Majlis simbolik mengimbas kad perakam waktu pada jam 4.30 petang di Menara Angkasapuri disaksikan warga RTM.
- Beliau memainkan peranan penting memperkukuh operasi RTM, meningkatkan kualiti siaran radio, televisyen dan media baharu.
- Menghargai warga RTM, beliau berharap organisasi terus menguasai teknologi baharu dan kekal sebagai peneraju penyiaran negara.
Sebagai simbolik berakhirnya khidmat beliau, Ismail mengimbas kad perakam waktu tepat jam 4.30 petang di Menara Angkasapuri, Kota Media, disaksikan warga RTM yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi penyiaran RTM termasuk meningkatkan kualiti siaran radio, televisyen dan media baharu, selain memastikan organisasi itu terus berkembang seiring kemajuan teknologi.
“Antara perkara paling menarik ialah apabila negara berjaya melaksanakan projek pendigitalan nasional yang menyaksikan pemancar televisyen analog beralih kepada pemancar televisyen digital,” katanya ketika ditemui media selepas majlis mengimbas kad perakam waktu Angkasapuri, Kota Media, di sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga RTM dan menyifatkan pengalaman sepanjang berkhidmat dalam organisasi penyiaran negara itu sebagai kenangan yang amat bermakna.
Pada masa sama, beliau berharap warga RTM terus memperkukuh penguasaan teknologi baharu bagi memastikan organisasi itu kekal relevan serta terus menjadi peneraju dalam landskap penyiaran negara.
“Saya berharap RTM terus maju dalam bidang-bidang baharu ini dan kekal menjadi pelopor teknologi penyiaran di Malaysia,” katanya.
Ismail menamatkan perkhidmatan selepas lebih tiga dekad menyumbang kepada perkembangan industri penyiaran negara, khususnya dalam memperkasa operasi RTM melalui perubahan teknologi dan transformasi digital.