Kerajaan perkenal hala tuju baharu pengurusan pekerja asing

Facebook Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Kerajaan memperkenalkan hala tuju baharu pengurusan pekerja asing menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing bagi memperkukuh penyelarasan dasar tenaga kerja, ekonomi, keselamatan dan penguatkuasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia, dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KESUMA dan KDN.
  • Pendekatan berasaskan prinsip economy driven memastikan pengurusan pekerja asing selari dengan keperluan pasaran buruh dan produktiviti industri; KDN kekal urus keselamatan.
  • Kerajaan menilai keperluan tenaga kerja secara bersasar, boleh buka semula kuota mengikut subsektor, dan galak peningkatan tenaga kerja tempatan, kemahiran serta automasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan jawatankuasa itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu sebagai pengganti kepada Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa berkenaan memaklumkan mesyuarat khas hari ini bersetuju supaya Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (One Stop Centre) diletakkan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dengan dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KESUMA dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Pendekatan itu berasaskan prinsip economy driven bagi memastikan pengurusan pekerja asing selari dengan keperluan pasaran buruh dan produktiviti industri, manakala KDN terus bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan, imigresen dan kawalan sempadan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kerajaan akan menilai keperluan tenaga kerja secara bersasar termasuk mempertimbang pembukaan semula permohonan kuota pekerja asing mengikut subsektor tertentu.

“Kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan, memperkukuh tenaga mahir serta menggalakkan automasi industri selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 ((RMK-13),” katanya.

Semua keputusan yang dipersetujui akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.