Had subsidi 200 liter petrol sebulan cukup untuk kegunaan harian

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Majoriti pengguna berpandangan had subsidi 200 liter petrol sebulan menerusi program BUDI MADANI RON95 masih mencukupi untuk kegunaan harian, namun mengakui keperluannya berbeza mengikut jarak perjalanan, jenis kenderaan dan saiz isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bagi sesetengah individu, kuota 200 liter memadai kerana perjalanan dekat dan penggunaan motosikal.
  • Kuota mungkin tidak mencukupi bagi keluarga besar, pemilik lebih daripada satu kenderaan atau perjalanan jarak jauh.
  • Perancangan perjalanan membantu mengawal penggunaan; kurang daripada satu peratus penerima menggunakan lebih daripada 200 liter.

Pekerja swasta, Mohamad Noor Shaffiq Noor Hisham berkata, kuota itu memadai untuk kegunaannya kerana hanya menggunakan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja, manakala kereta digunakan apabila perlu.

“Bagi saya, 200 liter mencukupi sebab saya gunakan motor sahaja untuk ulang-alik kerja, sebab daripada rumah ke tempat kerja saya pun tak terlalu jauh. Saya pun guna kereta kalau ada keperluan tertentu sahaja.

“Tapi untuk setiap isi rumah, mungkin berbeza. Sebab 200 liter mungkin terhad kepada mereka yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan ataupun komitmen perjalanan yang terlalu jauh. Tapi bagi saya, alhamdulillah, mencukupi,” katanya.

Mohamad Noor Shaffiq Noor Hisham

Penjawat awam, Puteri Farah Natasya Hishamuddin pula berkata, kuota berkenaan mencukupi baginya memandangkan rumah dan tempat kerjanya terletak berdekatan.

“Bagi saya, kuota 200 liter yang diberikan agak mencukupi kerana rumah dan tempat kerja saya agak dekat, jadi tak ada masalah untuk saya.

“Cuma ada juga rakan sekerja saya yang memberitahu bahawa kuota itu agak tidak mencukupi atas faktor jarak perjalanan antara rumah dan tempat kerja agak berjauhan,” katanya.

Puteri Farah Natasya Hishamuddin

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi penjawat awam, Siti Rabi’atul ‘Adawiyah Arip.

Katanya, kuota 200 liter sebulan mencukupi bagi kegunaan individu, namun mungkin tidak memadai untuk sesetengah keluarga.

“Pendapat saya, kuota 200 liter sebulan cukup untuk seorang, bergantung kepada perjalanan dan jenis kenderaan. Tetapi untuk penggunaan kenderaan yang berkeluarga, mungkin tidak mencukupi kerana dengan kuota yang telah dihadkan,” katanya.

Siti Rabi’atul ‘Adawiyah Arip
Shahratul Akbar Mohammad Samsudin

Bagi penjawat awam yang bertugas di Miri, Sarawak, Shahratul Akbar Mohammad Samsudin, had subsidi berkenaan masih mencukupi untuk menampung keperluan hariannya.

“Selaku penjawat awam yang bertugas di Daerah Miri, Sarawak, had subsidi 200 liter sebulan itu masih cukup memadai buat saya.

“Kerana perjalanan saya hanya ke tempat kerja, menghantar anak-anak ke sekolah dan juga isteri ke tempat kerja, serta urusan harian di kawasan yang berhampiran. Dengan perancangan perjalanan juga dapat menggunakan bahan api secara terkawal,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kurang satu peratus penerima manfaat program BUDI MADANI RON95 menggunakan lebih daripada 200 liter petrol sebulan sejak ia diperkenalkan pada Oktober tahun lalu hingga Mei lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.