
KUALA LUMPUR, 26 Jun – RTM dan Astro bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kandungan berkualiti terus dapat dinikmati oleh rakyat negara ini melalui pelbagai platform penyiaran.
- Perluasan siaran RTM di platform Astro termasuk Sukan+, Berita RTM dan rangkaian radio, serta TV1, TV2 dan TV Okey di Astro, NJOI, Sooka.
- Inisiatif memperluas akses rakyat kepada kandungan awam berkualiti, dipercayai dan relevan serta memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional.
- RTM dan Astro sasar mewujudkan ekosistem media mampan, mesra pengguna dan kos efektif bagi memberi nilai terbaik kepada rakyat dan industri tempatan.
Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pihak berpandangan bahawa lanskap media masa kini memerlukan pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan, selaras dengan perubahan teknologi serta corak penggunaan media yang semakin berkembang.
Kedua-dua pihak turut menyambut baik peluasan penyiaran saluran-saluran RTM di platform Astro, termasuk Sukan+, Berita RTM serta rangkaian saluran radio RTM.
“Inisiatif ini dijangka memperluas akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan di samping memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada pelbagai lapisan masyarakat,” menurut kenyataan bersama itu.
RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi yang sama untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Seiring perkembangan teknologi serta peningkatan pilihan platform media, kedua-dua pihak percaya kerjasama yang lebih erat antara pemain industri adalah penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat terus diperkasakan pada kos yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
Menurut kenyataan itu, penonton akan terus menikmati saluran TV1, TV2, dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka.
Peluasan penawaran saluran RTM melalui Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM pula akan mula tersedia kepada pelanggan Astro pada masa terdekat.
RTM dan Astro yakin kerjasama yang diperkukuh ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, memperkukuh industri media tempatan serta memperluas akses rakyat kepada kandungan yang berkualiti, dipercayai dan relevan.