
KUALA NERANG, 24 September – Graduan yang masih belum mendapat pekerjaan disaran menggunakan tempoh menganggur secara bijak dengan menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran diri dalam pasaran kerja semasa.
- Kelayakan akademik semata tidak mencukupi; industri menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Kerajaan menawarkan peluang dan insentif TVET, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan dan elektrikal.
- Pendedahan praktikal TVET memberi pengalaman kerja sebenar, membina kemahiran, keyakinan dan daya saing tempatan serta antarabangsa.
Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pemilikan kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi dalam lanskap industri hari ini yang mendesak keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, kerajaan kini menawarkan pelbagai peluang dan insentif menarik menerusi TVET yang mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan dan elektrikal.
“Ramai graduan yang tidak bekerja atau menganggur boleh menceburi bidang TVET. TVET hari ini menyediakan peluang dan insentif yang cukup banyak. Bidang seperti kejuruteraan dan elektrikal bukan sahaja boleh digunapakai untuk kerjaya, malah untuk perniagaan serta perusahaan dalam meningkatkan produktiviti negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambah Dr. Kamarul Azman, kelebihan utama TVET terletak pada pendedahan praktikal dan amali yang memberi pengalaman sebenar mengenai situasi kerja, penggunaan teknologi serta peralatan industri, berbanding pembelajaran teori semata-mata.
“Langkah memperkasa diri dengan kemahiran teknikal ini membolehkan graduan mengubah fasa menganggur kepada fasa pembinaan kompetensi, sekali gus membina keyakinan untuk bersaing secara lebih agresif dalam pasaran pekerjaan tempatan mahupun antarabangsa,” jelas beliau lagi.