
KANGAR, 26 September – Sebanyak 536 pek darah berjaya dikumpulkan menerusi sembilan siri Program Mai Derma Darah di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), sejak Januari lalu.
- Program anjuran UMNO Bahagian Kangar bersama agensi lain dilaksanakan setiap bulan untuk memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi.
- Program terus mendapat sambutan positif daripada penderma aktif dan penderma baharu yang tampil menyumbang demi kepentingan masyarakat.
- Usaha penting bagi memastikan stok darah berada pada paras selamat, khususnya untuk menghadapi kes kecemasan dan menunjukkan trend peningkatan.
Program anjuran UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar, Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dan Jabatan Perubatan Transfusi HTF itu dilaksanakan secara bulanan bagi membantu memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, program berkenaan terus mendapat sambutan positif daripada penderma aktif dan penderma baharu yang tampil menyumbang demi kepentingan masyarakat.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan stok bekalan darah HTF berada pada paras selamat, khususnya dalam menghadapi kes kecemasan sepanjang tahun.
Menurut beliau, sambutan terhadap program berkenaan juga menunjukkan trend peningkatan pada setiap siri penganjuran.
Sejak April 2023 hingga kini, sebanyak 41 siri Program Derma Darah telah dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat.