fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Gaza cerminan usaha diplomasi global

Orang ramai menyertai perhimpunan pro-Palestin di Times Square pada 16 Januari 2025 di New York City selepas perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada Rabu untuk menamatkan 15 bulan pertempuran di Gaza/AFP --- (Foto kecil: Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Dr. Mohamad Faisol Keling, Muhd Haikal Luqman Zulkeifli)

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Gencatan senjata di Gaza yang dijadual berkuat kuasa pada Ahad ini dianggap sebagai kemenangan diplomasi global yang mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memperkasa diplomasi awam, mengutuk kekejaman Israel dan menekankan keperluan untuk mencapai keamanan sejagat.

Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UITM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan gencatan senjata itu sebagai bukti kejayaan diplomasi Malaysia yang konsisten dalam memberi tekanan kepada Israel melalui saluran diplomatik.

Menurut beliau, langkah itu tidak hanya menunjukkan kekuatan Malaysia dalam mempertahankan prinsip keadilan tetapi juga keberkesanan strategi diplomasi yang digerakkan oleh Anwar sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kita akan terus memperkasa diplomasi awam dan menekan Israel secara diplomatik. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mewujudkan perubahan pemikiran dalam kalangan masyarakat dunia yang harus berlandaskan pada prinsip keadilan dan keamanan sejagat," katanya.

Pakar penganalisis Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling turut mengingatkan bahawa solidariti diplomatik Malaysia kepada Palestin telah terbina sejak era Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman dan diteruskan oleh setiap Perdana Menteri Malaysia.

Menurut beliau, dasar luar negara Malaysia yang kukuh berlandaskan sokongan penuh terhadap perjuangan Palestin tetap menjadi teras kepada usaha negara ini dalam memperjuangkan hak kemerdekaan Palestin.

"Malaysia sejak dahulu lagi memiliki dasar luar yang jelas, berteraskan sokongan terhadap Palestin dan ia telah diteruskan oleh setiap Perdana Menteri sehingga hari ini. Komitmen ini bertujuan menegakkan hak asasi manusia dan keadilan sejagat bagi rakyat Palestin," katanya.

Selain itu, Eksekutif Strategik Cinta Gaza, Muhd Haikal Luqman Zulkeifli menyatakan pengumuman gencatan senjata itu memberikan ruang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza yang terkesan sepanjang peperangan tersebut.

Beliau menekankan meski pun gencatan senjata dicapai, perjuangan untuk membebaskan Palestin dan memberikan kedaulatan penuh kepada rakyat Palestin harus diteruskan.

"Walaupun gencatan senjata ini membawa harapan baru, kita tidak boleh berhenti di sini. Perjuangan kita untuk memastikan kebebasan Palestin dan kedaulatannya tetap berjalan. Harapan kita adalah untuk melihat Masjidil Aqsa yang suci bebas dan rakyat Palestin dapat hidup dalam keamanan dan kebebasan yang sebenar," katanya.

Muhd Haikal turut menyatakan penghargaan kepada kepimpinan Perdana Menteri atas usaha beliau yang berterusan dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa termasuk dalam persidangan tergempar bersama negara-negara Arab.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA