fb fb fb fb fb

Pegawai KESUMA diarah turun padang, lihat situasi pekerja

Steven Sim Chee Keong

GEORGE TOWN, 17 Januari- Pegawai di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diarahkan untuk turun padang bagi melihat sendiri keadaan dan situasi pekerja.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, perkara berkenaan merupakan satu budaya yang diamalkan dari peringkat rendah hingga ke kementerian itu.

"Kita ingin memberi khidmat kepada rakyat, jadi dari bilik-bilik atau pejabat berhawa dingin, kita harus turun padang. Ini merupakan satu budaya yang saya bawa di peringkat kementerian.

"Sekiranya kita mahu menjaga pekerja atau pegawai-pegawai, kita harus turun padang melihat sendiri keadaan pekerja dan menyelesaikan masalah yang kita boleh lihat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan limau mandarin kepada petugas RTM Pulau Pinang di sini.

Dalam pada itu kementerian juga akan melaksanakan kerjasama erat dengan kerajaan Pulau Pinang bagi meningkatkan peluang pekerjaan di negeri itu.

Perkara itu termasuk memperbanyak latihan berbentuk kursus kemahiran dilihat sebagai potensi mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik adalah besar.

Inisiatif itu mengambil kira kelebihan Pulau Mutiara yang merupakan antara negeri hab industri semikonduktor dunia selain mempunyai nilai pelaburan tertinggi khususnya dalam bidang pembuatan.

"Pulau Pinang dinobat sebagai antara hab industri semikonduktor dunia dan kita tahu ia merupakan satu teknologi penting. Jadi kita ingin gunakan kelebihan ini untuk mewujudan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pampasan gaji yang lebih tinggi.

"Di peringkat KESUMA saya akan berkerja sama dengan negeri, contohnya baru-baru ini Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melancarkan Penang Design Semikonduktor Design@5km+. Dalam platform ini ada latihan kemahiran KESUMA dan akan bekerjasaa dengan Invest Penang serta Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

"Sudah tentunya ini untuk merancakkan latihan kemahiran supaya rakyat Pulau Pinang bersedia menyahut keperluan pasaran pekerjaan khususnya dalam bidang-bidang yang berkemahiran tinggi," katanya lagi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim serta Exco Belia Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI