DOHA, 16 Januari- Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa Ahad ini.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani dalam satu sidang media di Doha.
Beliau berkata ia langkah awal bagi membuka jalan untuk menghentikan perang secara kekal, yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa orang awam.
"Kami berharap ini akan menjadi lembaran terakhir perang dan kami berharap semua pihak akan komited untuk melaksanakan semua syarat dalam perjanjian ini," katanya.
Perjanjian tersebut merangkumi fasa gencatan senjata selama enam minggu serta pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pembebasan tebusan oleh Hamas sebagai syarat pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.
Tekanan untuk menamatkan pertempuran semakin memuncak sejak kebelakangan ini, apabila perantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat mempergiatkan usaha untuk memuktamadkan perjanjian.
Sheikh Mohammed berkata ketiga-tiga negara itu akan memantau pelaksanaan gencatan senjata melalui badan yang berpangkalan di Kaherah.
Dalam tempoh gencatan senjata iaitu 42 hari pertama, seramai 33 tebusan akan dibebaskan, termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas, pesakit awam.
Dalam fasa ini juga, tentera Israel akan berundur dari kawasan padat penduduk di Gaza untuk membolehkan pertukaran tebusan dan tahanan, serta kepulangan rakyat Palestin ke rumah mereka.
Selain itu, jumlah tahanan Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk tebusan Israel dalam fasa kedua dan ketiga akan dimuktamadkan dalam tempoh 42 hari pertama.
Serangan berterusan Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengorbankan 46,707 orang, kebanyakannya orang awam, menurut laporan Kementerian Kesihatan kendalian Hamas.-AFP