fb fb fb fb fb

Rusia sedia bantu Vietnam sertai BRICS

FOTO FAIL

HANOI, 15 Januari - Rusia menyatakan kesediaannya untuk membantu Vietnam menyertai BRICS dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan lawatan Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin ke Hanoi, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

"Pihak Rusia mengalu-alukan penyertaan aktif Vietnam dalam acara BRICS pada 2024 dan menyatakan kesediaannya untuk menyumbang kepada kemasukan Vietnam sebagai ahli kumpulan itu," menurut dokumen berkenaan.

Pada Oktober 2024, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak BRICS Plus/Outreach di Kazan atas jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Kenyataan bersama itu menyatakan bahawa kedua-dua negara mengalu-alukan usaha untuk memperdalam perkongsian antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

Ini berdasarkan memorandum persefahaman 2018 mengenai kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Suruhanjaya Ekonomi Eurasia, serta memorandum persefahaman 2005 antara sekretariat ASEAN dan SCO.

Usaha ini menyumbang kepada pembinaan ruang bersama untuk keamanan, kestabilan, keselamatan yang sama rata dan tidak boleh dibahagikan, saling mempercayai, pembangunan, serta kemakmuran di "Greater Eurasia". - BERNAMA

TETITIA YUSOFF